7 JULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah yang dibuktikan dengan kemasukan ahli baharu termasuk daripada kalangan bekas ahli dan pemimpin parti lain.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, perkembangan itu itu juga menjadi petanda positif buat Perikatan Nasional (PN) sebagai parti pemerintah di peringkat Persekutuan.
“Rakyat Sabah mulai melihat kemampuan serta kredibiliti PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu mengurus tadbir negara terutama ketika berdepan cabaran COVID-19 sehingga menjadi antara negara terbaik menangani penularan wabak berkenaan.
“Saya melihat bantuan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat yang menghadapi kesukaran ketika krisis ini (impak COVID-19), yang membuat rakyat menyokong PN dan Perdana Menteri atas usaha murni itu,” katanya seperti dipetik dari laporan Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kemasukan 200 ahli baharu terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) ke dalam Bersatu Bahagian Tuaran, hari ini.
Hajiji berkata, Bersatu Sabah mensasarkan menambah keahlian sehingga 200,000 ahli menjelang akhir tahun ini dan yakin ia mampu dicapai memandangkan parti berkenaan kini mempunyai lebih 100,000 ahli, walaupun baru setahun bertapak di Sabah.
“Pada masa ini, kita mempunyai lebih kurang 20,000 hingga 30,000 ahli sedang menunggu untuk didaftarkan di seluruh Sabah. Bagaimanapun proses pendaftaran terbantut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, pihaknya kini membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) sekiranya ia diadakan secara mengejut dengan setiap bahagian parti akan diarahkan untuk menubuhkan jentera pilihan raya.
“Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat Bersatu negeri Selasa ini,” katanya.