7 JULAI: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, di George Town hari ini bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Memetik laporan BERNAMA, beliau tiba di bangunan SPRM pada 8.55 pagi dan berada di bangunan tersebut selama empat jam 15 minit.
Sejurus keluar dari bangunan SPRM pada 1.15 tengah hari, Chow yang dikerumuni pemberita berkata, fokus keterangan beliau kepada SPRM adalah berhubung projek terowong dasar laut.
“Saya telah memberi keterangan kepada SPRM sejak 9 pagi dan fokus adalah terhadap projek terowong serta pengesahan akan keputusan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) terhadap projek ini (terowong dasar laut),” katanya.
Kon Yeow menambah, tiada sebarang dokumen diserahkan kepada SPRM.
Ketika ditanya tentang tempoh yang agak lama diambil beliau untuk memberi keterangan, Chow berkata seperti kelaziman pertanyaan dimulai dengan latar belakang beliau dan disusuli tentang bidang kuasanya sebagai Exco.
Turut dilihat memasuki bangunan SPRM hari ini ialah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Farizan Darus, bekas Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Lydia Ong Kok Fooi.
Semalam, tiga Exco kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu Jagdeep Singh Deo, Chong Eng dan Phee Boon Poh hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan juga berhubung projek mega tersebut yang melibatkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.
Pada 3 Julai lalu, dua pasukan dari SPRM mengambil keterangan beberapa petugas di pejabat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P. Ramasamy dan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.
Terdahulu, bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffrey Chew yang ditahan reman selama empat hari mulai 1 Julai oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung projek itu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 4 Julai.