8 JULAI: Bukan seorang atau dua, tetapi 21 pihak terdiri daripada pemimpin kanan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) serta sebuah portal berita berdepan tindakan undang-undang oleh penganalisis politik terkenal, Dr. Kamarul Zaman Yusoff.
Mereka terdiri daripada 10 pemimpin DAP dan 10 pemimpin PAN di samping portal berita Malaysia Dateline yang dikaitkan dengan PAN.
Antara nama-nama besar yang disaman termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, Naib Presiden PAN, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad.
Menurut Dr Kamarul, pemimpin DAP lain yang berdepan tindakan saman ini ialah Chong Chieng Jen, Wong Kah Woh, Lim Lip Eng, Dr P. Ramasamy, Syerleena Abdul Rashid, Dr Arifin Omar, Abdul Aziz Isa, dan Mohd Farid Mohd Azmi.
Pemimpin PAN yang lain ialah Mohamed Hanipa Maidin, Zolkharnain Abidin, Jamzuri Ardani, Mohd Fitri Asmuni, Wan Anwar Wan Ibrahim, Fatihah Salahuddin, Abdul Rahman Abdul Talib (Tulang Besi) dan Hussin Jan.
Ketika dihubungi portal PN BBC, Dr. Kamarul yang juga pensyarah kanan di sebuah universiti awam berkata, surat tuntutan atau LOD sudah pun dikeluarkan peguamnya dan ini akan disusuli pemfailan saman.
“Saman kepada 10 pemimpin DAP akan dibuat minggu depan, diikuti oleh pemfailan saman kepada 10 pemimpin PAN dan portal parti itu pada minggu yang seterusnya.
“Tindakan ini dibuat kerana kelihatan ada usaha terancang untuk menjahanamkan reputasi dan karier saya sebagai ahli akademik dan adalah menjadi kewajipan bagi diri saya untuk memelihara maruah dan harga diri dari serangan beramai-ramai yang dibuat pihak ini,” katanya.
Tambah Dr. Kamarul, jika dulu beliau pernah disaman RM5 juta oleh Mujahid kerana menyebut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kuda tunggangan kepada DAP, maka kali ini sebahagian daripada saman ini juga adalah atas asas serta isu yang sama.
“Iaitu saya dilabelkan dengan kata-kata jelik seperti ‘kuda tunggangan orang politik’, ‘puppet parti politik yang tertentu’, ‘menjadi alat bagi menghasut orang ramai untuk membenci DAP dan PH’ dan sebagainya.
“Sepatutnya sebagai pemimpin yang menghargai kebebasan bersuara mereka perlulah berhujah secara ilmiah, tetapi bila mereka memilih jalan sebaliknya, termasuk menyaman, cuba menyaman dan memberi label-label jelik kepada saya, maka terpaksalah saya juga menggunakan hak yang diberikan oleh undang-undang untuk mempertahankan diri saya.
“Tindakan saya ini juga adalah selari dengan ajaran agama Islam yang membenarkan tindakan sebegini dilakukan oleh mereka yang dianiayai,” katanya.
Ditanya mengenai kos guaman, pensyarah kanan itu memaklumkan beliau menanggung sendiri perbelanjaan berkenaan. M. HERMAN HAMID