8 JULAI: Menyedari orang ramai sukar mendapat peluang bertemu menteri sama ada untuk menyampaikan masalah atau mengemukakan cadangan, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad hari ini mengambil inisiatif melancarkan Hari Bertemu Pelanggan pada Hari Rabu setiap minggu.
Beliau berkata, program yang julung-julung kali diwujudkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan ditukar ke hari Jumaat jika terdapat sidang Parlimen seperti minggu depan.
Beliau juga amat gembira dengan sambutan diterima orang ramai dan ada dalam kalangan mereka tiba seawal 3 petang selepas mendaftar secara atas talian, biarpun program sebenar bermula jam 4 petang.
“Malah, program ini amat bagus kerana memberi peluang kepada saya berjumpa kira-kira 15 orang pelanggan KPLB terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk berpangkat Datuk, orang biasa, peniaga dan orang politik.
“Ini bermakna rakyat boleh jumpa terus saya selaku menteri tanpa perlu melalui ‘red tape’ atau kerenah birokrasi untuk mengemukakan sebarang masalah atau cadangan untuk diperhalusi dan diselesaikan kementerian dalam masa terdekat.
“Oleh itu saya mengalu-alukan supaya orang berdaftar secara ‘online’ untuk dapat berjumpa dengan saya sendiri pada setiap hari Rabu antara jam 4 petang hingga 6.30 petang kecuali jika ada Parlimen akan ditukar ke Jumaat,” katanya kepada PN BBC Portal selepas melancarkan Hari Bertemu Pelanggan KPLB di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Abdul Latiff berkata beliau hanya dapat memperuntukan sedikit masa untuk bertemu pelanggan kerana sibuk dengan pelbagai tugasan sebagai menteri yang menjaga banyak agensi lain termasuklah FELCRA, RISDA, MARA dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Saya berbuat demikian kerana mungkin mereka ada cadangan yang bagus tetapi nak jumpa dan bentangkan idea dan cadangan kepada menteri sendiri memang susah… nak kena pakai orang dalam tetapi hari ini mereka tidak perlu berbuat demikian dan boleh jumpa terus menteri untuk mengadu masalah atau mengemukakan cadangan yang bernas, ” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Faizal Baharom, 43, berkata beliau gembira kerana dapat bersemuka dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar sendiri untuk mengemukakan pelbagai masalah dihadapinya.
“Saya amat berpuas hati kerana dapat bertemu dan mengemukakan pelbagai masalah terutama isu kualiti jalan luar bandar kepada menteri sendiri tanpa perlu melalui orang tengah atau ‘red tape” katanya ketika ditemui.
Ketua Pegawai Operasi Ardtecth Sdn Bhd, Abrizan Abdul Rahim pula berkata, beliau gembira kerana menteri sudi mendengar cadangan inovasi dibentangkan syarikat untuk membantu kerajaan menjimatkan pembangunan jalan di kawasan luar bandar sehingga 30 peratus berbanding kaedah biasa. – Oleh HAIKA KHAZI