8 JULAI: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi keutamaan terhadap pembangunan generasi muda dalam semua aspek pembangunan termasuk yang berkaitan dengan modal insan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan melihat golongan tersebut sebagai generasi yang menentukan kelangsungan pembangunan masa kini dan perlu dilibatkan dalam proses pembangunan dasar.
Menurut beliau, dalam merealisasikan hasrat tersebut, kemahiran kepimpinan merupakan salah satu kompetensi utama yang harus dititikberatkan dalam pelaksanaan program pembangunan belia.
“Setiap belia harus memiliki ciri kepemimpinan yang baik. Paling kurang, belia harus mampu memimpin diri sendiri.
“Belia yang mampu memimpin diri sendiri bukan saja tidak menjerumuskan diri dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya akan menjadi rakyat yang patriotik dan mampu menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat menerusi budaya kemasyarakatan dan kesukarelaan yang tinggi,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada majlis penyerahan peserta Felo Perdana kepada ahli jemaah menteri bagi tahun ini di Putrajaya, hari ini.
Program Felo Perdana tahun ini melibatkan seramai 82 orang belia dengan 58 daripadanya adalah siswazah dan 24 siswa.
Kira-kira 42 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta berasal dari keluarga B40.
Perdana Menteri menambah, selari dengan situasi pascapandemik COVID-19, keutamaan penyertaan peserta untuk program Felo Perdana tahun ini adalah terdiri daripada kalangan siswazah berbanding siswa, dengan peratusannya adalah 70 peratus siswazah dan 30 peratus lagi adalah siswa.
“Saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada semua peserta Felo. Saudara dan saudari semua adalah anak muda yang terpilih daripada 637 orang yang telah memohon untuk menyertai program ini serta 298 orang yang memohon Felo Korporat,” ujarnya.
Muhyiddin memberitahu, para peserta Felo Perdana juga memainkan peranan sebagai jurucakap tidak rasmi kerajaan.
“Saya menyeru agar saudara-saudari dapat menjadi pengantara di antara kerajaan dan golongan belia di luar sana, terutamanya dalam menyampaikan fakta dan polisi kerajaan terutamanya dalam memerangi wabak COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara pascapandemik,” ujarnya.
Beliau seterusnya menasihatkan menteri Kabinet untuk melatih Felo sebaiknya seperti ‘anak sendiri’, menunjukkan teladan yang baik serta memberikan pengalaman yang tidak ternilai sepanjang penempatan mereka.
Menurut beliau, menteri Kabinet juga perlu terbuka mendengar suara anak muda dan menjadikan aspirasi tersebut sebagai sebahagian daripada pandangan penting dalam proses mengubal dan merencana polisi-polisi baharu.