8 JULAI: Kerajaan negeri Kedah bercadang mengaktifkan semula Tabung Tengku Mahmud yang pernah diwujudkan semasa era pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar pada 2008.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tabung yang dilancarkan di Hotel Istana Kuala Lumpur pada Mei 2008 pernah mempunyai dana sehingga RM10 juta, namun baki terakhirnya sekarang hanya tinggal RM646,000 kerana sudah lama tidak aktif.
Menurut beliau, tujuan utama penubuhan dana tabung berkenaan adalah membantu rakyat Kedah sama ada Muslim atau pun bukan-Islam terutama dalam bidang pendidikan dan kebajikan.
“Jadi kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengaktifkan semula pelan kutipan dan sumbangan melalui Tabung Tengku Mahmud yang mempunyai tujuh asas aktiviti yang membawa kepada penubuhannya pada tahun 2008.
“Insya-Allah lepas ini banyaklah saluran-saluran kebajikan yang dapat dilaksanakan kepada rakyat Kedah melalui Tabung Tengku Mahmud,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Kedah, hari ini.
Terdahulu dalam sidang media itu, Muhammad Sanusi membentangkan mengenai persetujuan menyegerakan pembinaan masjid baharu daerah Pendang dengan kos RM16 juta yang berkonsep masjid terapung di tasik berhampiran Pendang Lake Resort.
Beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan negeri Kedah bersedia menyerap 48 kakitangan Tadika Nuri sebagai kakitangan tadika Islam di bawah Jabatan Agama Islam bertaraf lantikan kontrak, selain bersedia mempertimbangkan untuk menambah jumlah penerima bantuan COVID-19.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Jeneri itu memberitahu, kerajaan negeri Kedah akan membayar saguhati tertangguh sejak tahun 2016 kepada pegawai masjid yang telah bersara melibatkan jumlah peruntukan RM300,000.
Ditanya mengenai status Hospital Pendang, katanya proses pembinaan sudah berada sekitar 30 peratus di mana terhenti sebelum ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan para pekerjanya sudah melalui saringan COVID-19.
Bagaimanapun 129 pekerja berkenaan didapati negatif dan prestasi kontraktor berada di pencapaian terbaik setakat ini di mana jangkaan siap adalah pada penghujung 2021.