8 JULAI: Seramai 10.245 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah menerima bayaran dengan jumlah keseluruhan RM10.92 bilion setakat ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tahap pelaksanan inisiatif berkenaan adalah pada tahap 97.5 peratus.
Menurut beliau, antara 26 Jun hingga 6 Julai, kira-kira 30,000 penerima BPN telah menerima bayaran di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.
“Bayaran kumpulan rayuan BPN pula, penerima yang lulus telah dibayar mulai 24 Jun. Sehingga 6 Julai, 140 ribu individu bujang dan isi rumah telah telah menerima bantuan BPN berjumlah RM120 juta daripada peruntukan RM139 juta.
“Bagi perayu yang lulus tetapi masih belum menerima bayaran, mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke Cawangan BSN seluruh negara sehingga 31 Disember ini,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-12 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diterbitkan hari ini.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada seramai 28,962 pemandu teksi berjumlah RM17.4 juta buat penerima fasa pertama.
Beliau menjelaskan, bagi penerima fasa kedua, tarikh permohonan rayuan telah ditutup pada 1 Julai lalu dan sedang dalam proses semakan manakala pembayaran dijangka dibuat pertengahan bulan ini.
“Bagi pemandu pelancong pula, seramai 7,414 pemandu pelancong telah menerima bantuan berjumlah RM4.4 juta.
“Manakala, status bagi pemandu bas pelancongan sedang dikemas kini dan akan diumumkan pada hujung bulan Julai 2020,” ujarnya.
Bagi moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan yang berkuat kuasa pada 1 April lalu, Tengku Zafrul memberitahu, setakat 6 Julai, nilai moratorium tersebut dianggarkan berjumlah RM51.4 bilion.
“Dari angka ini, sebanyak RM17.9 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh Rakyat bernilai RM33.38 bilion,” jelasnya.
Berhubung pelaksanaan Geran Khas Prihatin (GKP), pembayaran kumpulan rayuan bermula minggu lalu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan minggu depan.
Laporan penuh boleh dibaca melalui laman Facebook Kementerian Kewangan Malaysia. – Oleh HUSSAINI AMRAN