8 JULAI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, tempoh moratorium yang bakal tamat pada September ini wajar dilanjutkan lagi sehingga penghujung tahun ini atau suku pertama tahun 2021.
Menurut beliau, dengan tempoh moratorium dilanjutkan, maka penguncupan mendadak tingkat perbelanjaan domestik dalam ekonomi dapat dielakkan.
Ahmad Zahid amat yakin sektor perbankan di negara ini sangat mampu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan polisi ini sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan.
“Saya yakin perlanjutan tempoh moratorium tidak akan merugikan bank, sebaliknya ia hanya akan mengurangkan keuntungan bank sahaja.
“Laporan dari Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri mengatakan bahawa bank-bank di negara kita berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu untuk bertahan sekiranya keuntungan mereka berkurangan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, malam ini.
Beliau juga berharap agar BNM dapat mengurangkan OPR kadar dasar semalaman kepada sekitar 0% sejajar dengan polisi monetari yang dilaksanakan di banyak negara lain pada masa ini.
Ahmad Zahid menyatakan, penurunan kadar bunga kepada sekitar 0% ketika ini tidak akan mendatangkan risiko inflasi kepada negara kita kerana kelembapan ekonomi telah menyebabkan banyak negara berhadapan dengan risiko deflasi, termasuk di Malaysia.
“Pengurangan kadar bunga akan mengurangkan kos pinjaman bagi perniagaan, seterusnya mengurangkan kos pelaburan dan sedikit sebanyak dapat membantu pemulihan ekonomi,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN