9 JULAI: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sehaluan dengannya dalam menentang DAP.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, atas sebab itu, partinya menyatakan pendirian sama seperti UMNO dan PAS dalam memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Menurut beliau, tindakan itu dilakukan selaras dengan perjuangan parti yang memberi keutamaan kepada rakyat di negara ini.
“Parti Gerakan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang sehaluan dan mendukung ideologi politik yang sama dengan kami.
“Kita mungkin berbeza parti dan fahaman, tetapi saya percaya kita mempunyai lawan politik yang sama, iaitu DAP.
“Sering kali saya memberi penekanan bahawa setiap naratif perjuangan yang dibawa oleh parti mesti berasaskan kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dominic memberitahu, keputusan itu diambil demi kepentingan rakyat dan negara terutamanya dalam menghadapi situasi kritikal ketika ini untuk memerangi jangkitan COVID-19.
Pada masa ini, jelas beliau, Gerakan memberi tumpuan untuk memastikan kestabilan politik dipulihkan segera.
“Semua parti politik perlu menghentikan pertengkaran dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan negara.
“Memang ada golongan politik kata, politik lawan tetap lawan tapi ini bukan masanya,” ujarnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH