Kawalan pergerakan kembali di Melbourne
9 JULAI: Seramai lima juta penduduk di bandar raya Melbourne memulakan perintah berkurung hari ini, sekali gus kembali mengamalkan beberapa peraturan ketat hanya beberapa minggu selepas bertarung dengan ancaman pandemik COVID-19.
Susulan arahan itu, semua penduduk diminta berada di dalam kediaman masing-masing selama enam minggu, selepas pendekatan digunakan sebelum ini gagal mengurangkan bilangan kes.
Negeri Victoria sebelum ini berjaya mengukuhkan usaha memerangi virus berkenaan dari merebak, sama seperti bahagian lain di Australia.
Namun lambakan pengunjung yang menyeberangi sempadan ke New South Wales pada Rabu meningkatkan kebimbangan, bahawa usaha terbabit akan menemui kegagalan.
“Beberapa kes yang datang kepada kami dari Victoria meningkatkan bilangan kes, membuatkan ia sukar untuk dikawal,” kata pakar epidemiliogi, Mary – Louise McLaws kepada penyiar awam ABC.
Ketua New South Wales, Gladys Berejiklian berkata, dua kes COVID-19 sudah dikenal pasti di pekan Albury di sempadan, dan beliau memberi amaran kepada semua pengunjung dari luar atau dalam kalangan komuniti setempat.
“Kami mahu memastikan kami berjaya menghapuskan sebarang potensi penyebaran sebelum peningkatan kes berlaku dan menjadi tidak terkawal,” katanya kepada wartawan di Sydney.
Negeri Queensland hari ini mengumumkan bahawa mereka akan melarang kemasukan pengunjung dari Victoria, sekali gus mengetepikan buat pertama kali peraturan kuarantin selama 14 hari yang dilaksanakan sebelumnya.