10 JULAI: Polis hari ini memanggil beberapa kakitangan stesen penyiaran asing, Al Jazeera ke Bukit Aman untuk direkodkan kenyataan berikutan penerbitan dokumentari berjudul ‘101 East’ yang menggambarkan pihak berkuasa Malaysia melakukan penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Kumpulan kakitangan Al Jazeera berkenaan termasuk wartawan, Drew Ambrose dan mereka yang terbabit dengan pembikinan dokumentari itu tiba di Bukit Aman dengan ditemani beberapa peguam diketuai oleh Hisyam Teh Poh Teik, kira-kira jam 8.50 pagi tadi.
Bagaimanapun Hisyam enggan mengesahkan jumlah sebenar kakitangan Al Jazeera yang hadir ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman seperti yang diarahkan PDRM.
Hisham ketika ditemui pemberita di luar pondok pengawal keselamatan Bukit Aman menegaskan, Al Jazeera akan memberi kerjasama penuh dengan PDRM berhubung siasatan penerbitan dokumentari berbaur fitnah ‘Locked Up In Malaysia’s Lockdown’ terbitan mereka.
“Saya juga ingin memberitahu bahawa sebelum ini Al Jazeera sudah menulis surat kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai episod ini, dan pada masa yang sama, mereka juga telah mengeluarkan kenyataan media.
“Saya ingin menekankan bahagian tertentu untuk mengatakan anak guam kami membantah pendakwaan ini. Kami berharap setelah siasatan polis tidak akan melakukan tindakan apa pun setelah mendapat maklumat yang mereka perlukan,” katanya.
Terdahulu, Hisham juga membaca sebahagian daripada kenyataan Al-Jazeera yang menekankan komitmen organisasi media berpusat di Qatar itu untuk memastikan laporan yang adil dan tepat.
Mengulas lanjut, Hisham juga memaklumkan, Al Jazeera turut membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam selepas menerima pelbagai ugutan.
“Mereka bimbang dengan beberapa ugutan yang diterima melalui pelbagai medium termasuk dalam talian melalui komen pengguna media sosial.
“Justeru mereka membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri masing-masing terutama yang terbabit dengan penerbitan dokumentari berkenaan,” katanya.