10 JULAI: Australia akan mengehadkan jumlah rakyatnya yang dibenarkan pulang ke negara itu kepada separuh bermula Isnin ini, berikutan kesukaran mengekang penularan COVID-19.
Berikutan itu, hanya 4,000 warga Australia atau penduduk tetap dibenarkan kembali ke negara itu setiap hari, berbanding 8,000 yang dibenarkan sebelum ini, kata Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.
Pengumuman itu dibuat ketika pihak berkuasa di Victoria melaporkan 288 kes baharu COVID-19, kebanyakannya di ibu negeri itu, Melbourne.
“Langkah mengehadkan jumlah kepulangan warga Australia dijangka kekal sehingga penularan di Melbourne berjaya dikawal,” kata Morrison seperti dipetik agensi berita.
Kira-kira lima juta penduduk di Melbourne dikenakan perintah berkurung selama enam minggu, bermula minggu ini dalam usaha mengawal penularan wabak itu, yang sebelum ini sudah berjaya dikawal di hampir semua kawasan beberapa minggu lalu.
Pihak berkuasa kesihatan berkata, tempoh beberapa minggu diperlukan bagi mengetahui sama ada perintah berkurung itu berjaya mengekang lonjakan kes baharu.
Australia menutup sempadan negara itu kepada semua pihak, kecuali rakyatnya dan penduduk tetap yang pulang pada hujung Mac lalu susulan peningkatan kes coronavirus.
Semua individu yang kembali ke negara itu dikenakan kuarantin mandatori di hotel, yang menelan kos tinggi di bandar utama negara berkenaan.
Pelanggaran prosedur kesihatan dan keselamatan di hotel kuarantin di Melbourne, disifatkan sebagai punca lonjakan baharu kes baharu di bandar itu, dengan majoriti kes COVID-19 di Australia adalah membabitkan mereka yang pulang ke negara itu.