10 JULAI: Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional yang baharu disemak semula pada kadar RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 15 tahun lalu.
Nilai PGK baharu itu diperolehi setelah Kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraannya seperti diumumkan Jabatan Perangkaan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, metodologi pengiraan PGK itu kali terakhir dikemas kini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.
“Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus (405,441 isi rumah) bagi tahun 2019. Kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.
“Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525, 743 isi rumah),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ini bermakna, jika diukur menggunakan metodologi PGK yang baharu, kadar kemiskinan negara telah menurun sebanyak 2.0 peratus dari 7.6 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.
Jabatan Perangkaan hari ini mengeluarkan 30 laporan berkenaan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas, Malaysia, 2019; 14 Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019.
Jabatan itu turut mengeluarkan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah, Malaysia, 2019; dan 14 Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2019 yang julung kali dikeluarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tujuh negeri mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional sementara Selangor dan Johor merekodkan nilai pendapatan purata lebih tinggi daripada paras nasional iaitu RM7,901.
Menurut beliau, pendapatan penengah tumbuh sederhana 3.9 peratus setahun kepada RM5,873 pada tahun 2019 dan pendapatan purata pula meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.
Mohd Uzir memberitahu, analisis kali ini telah dikembangkan dengan beberapa pembaharuan termasuk semakan PGK berdasarkan keperluan semasa yang mengambil kira pengambilan makanan optimum dan keperluan asas bukan makanan yang lebih berkualiti.
Beliau menambah, pengelasan baharu isi rumah kepada sepuluh kategori berdasarkan kelompok sepuluh peratus dan Pendapatan Boleh Guna yang boleh dijadikan sebagai salah satu ukuran pilihan bagi analisis agihan pendapatan serta alternatif ukuran kemiskinan iaitu Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) dan Kemiskinan Relatif turut disediakan.
“Bagi memberi perspektif yang lebih jelas, hasil kajian ini turut digarap dalam satu laporan Penemuan Utama yang memuatkan semua analisis dan lima artikel mengikut topik terpilih.
“Nilai Pekali Gini pula telah meningkat sebanyak 0.008 mata indeks daripada 0.399 (2016) kepada 0.407 (2019) yang menunjukkan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar namun berdasarkan pendapatan boleh guna, Nilai Pekali Gini ialah 0.393,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai laporan HES, Mohd Uzir berkata, laporan pada kali ini lebih memberi impak kerana analisis dapat dibuat sehingga peringkat daerah pentadbiran.
Menurut beliau, data tersebut dijangka dapat memberi input berguna terutama dalam mengkaji kos sara hidup antara daerah.
“Perbelanjaan purata isi rumah meningkat 3.9 peratus pada 2019. Dapatan juga menunjukkan permintaan untuk sektor perkhidmatan oleh isi rumah semakin meningkat.
“Komposisi perbelanjaan bagi komponen perkhidmatan meningkat kepada 52.1 peratus pada 2019,” katanya.