10 JULAI: Susulan pemecatannya daripada PKR hujung bulan lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha akhirnya digugurkan sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Pengguguran Haniza yang turut menjadi perhatian media kerana terpilih sebagai pemenang hadiah cabutan khas Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1 juta itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut Amirudin, portfolio Haniza dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) iaitu Perumahan dan Kehidupan Bandar akan dipangku beliau dan sebarang program berkaitan portfolio itu turut ditangguhkan buat sementara waktu.
“Hari ini adalah hari terakhir Yang Berhormat, Haniza Mohamed Talha berkhidmat sebagai ahli MMKN Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar.
“Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Haniza dan selamat maju jaya,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi perkenan berkenaan hal itu dalam majlis sembah maklum yang diadakan semalam.
Pada 29 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.
Haniza sebelum ini menyifatkan pelucutan keahliannya daripada PKR sebagai tindakan “seperti balas dendam”.
Bekas Ketua Wanita PKR itu berkata, parti itu kini dilihat membalas dendam dengan memecat dan “memburu” ahli parti yang rapat dengan bekas timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, kemenangan Haniza dalam program anjuran BSN dimaklumkan dalam laman web bank itu.
Page Facebook Penggerak Komuniti Negara Kapar turut berkongsi beberapa keping gambar penyampaian replika cek kepada Haniza yang berlangsung di Shah Alam.