10 JULAI – ‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tema itu dipilih bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan COVID-19.
“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Julai lalu telah bersetuju untuk memilih logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 yang bertemakan, Malaysia Prihatin,” katanya pada sidang media di Auditorium Bangunan Pelita di sini hari ini.
Memetik laporan Bernama, Saifuddin berkata, perkataan ‘Malaysia’ membawa pengertian bahawa seluruh rakyat negara ini turut bersama-sama dengan kerajaan memerangi COVID-19 sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan.
“Keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat ditunjukkan melalui inisiatif ‘Prihatin’ yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Logo berbentuk hati dipilih dengan warna-warna bendera Jalur Gemilang
melambangkan keprihatinan kerajaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Sementara itu, Saifuddin berkata bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, kerajaan melalui KKMM dan agensinya telah merancang untuk melaksanakan empat aktiviti utama.
“Sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara bermula pada 9 Julai hingga 16 Sept 2020 (telah diadakan semalam) di bangunan Perdana Putra, Putrajaya; pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 28 Julai 2020 di Putrajaya.
“Selain itu, sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos 2020 di Kuala Lumpur dan sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 Sept 2020 di Sibu, Sarawak,” katanya.
Sementara itu, KKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelbagai program dan pertandingan kenegaraan turut diadakan bagi
menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara, serta memberi peluang penyertaan kepada semua lapisan masyarakat.
Antaranya adalah Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti dan Pertandingan Pidato Kenegaraan, Sayembara Puisi Merdeka, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka.
Program-program ini bermula pada 16 Julai hingga 16 September 2020.