10 JULAI: Varian Perodua Myvi 1.3L G Edisi-S yang dilancarkan pada 4 Julai lalu adalah untuk dipasarkan di Brunei.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, varian tersebut dilengkapi dengan kit badan yang ditambah baik dan diperolehi sendiri.
Menurut beliau, penambahbaikan itu dilakukan hasil maklum balas daripada pengedar sah Perodua di negara berkenaan, GHK Motors.
“Kami terlibat dengan GHK Motors bagi perincian lanjut mengenai varian ini bagi memastikan varian tambahan berkenaan dapat memenuhi standard yang diperlukan.
“GHK Motors memberitahu kami bahawa Myvi Edisi-S adalah usaha mereka untuk memperkenalkan varian lebih sesuai bagi keperluan pasaran mereka,” katanya dalam kenyataan media.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan tentang kekeliruan dalam kalangan peminat Myvi berhubung varian tersebut.