10 JULAI: Kerajaan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton bagi sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu mulai 15 Julai ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuk perlumbaan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan litar-litar lain, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.
Menurut beliau, mulai tarikh sama, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal seperti sukan berpasukan termasuk bola sepak, ragbi, bola keranjang, sepak takraw serta sukan tempur seperti karate, silat dan taekwondo turut dibenarkan.
“Serentak dengan itu, pengusaha-pengusaha padang komersial, operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula bermula 15 Julai 2020,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, kerajaan membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi bagi Fasa 3 dan Fasa 4 itu serta penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan, kerajaan membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton untuk sukan bersentuhan fizikal bagi sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy bermula 15 Ogos.
“Contoh kejohanan sukan berpasukan adalah seperti Liga Super dan Liga Premier bola sepak, Liga Sepak Takraw, Liga Hoki dan Liga Ragbi,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dan penganjur acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Prapenganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.
Beliau menjelaskan, antara SOP yang perlu dipatuhi termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera, saringan suhu badan, sanitasi peralatan selepas setiap penggunaan dan kawalan bilangan petugas.
“Semua SOP akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat untuk rujukan,” ujarnya.
Ismail Sabri berkata, penganjuran acara antarabangsa melibatkan peserta dari luar negara adalah tidak dibenarkan buat masa ini.
Sementara itu, katanya, pusat hiburan keluarga termasuk arked permainan dan pusat karaoke dibenarkan beroperasi kembali bermula 15 Julai ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan 3,000 tenaga kerja terlibat dan sumbangan RM500 juta kepada pendapatan negara.
“Kelulusan ini melibatkan arked permainan, taman funfair indoor, hiburan pendidikan, gym permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga,” katanya.
Tambah Ismail Sabri, aktiviti karaoke dibenarkan di majlis perkahwinan namun pub dan disko masih tidak dibenarkan beroperasi.
Menyentuh mengenai kebenaran rakyat negara ini menjalani latihan syarikat di luar negara, beliau berkata perkara itu dibolehkan tertakluk kebenaran Jabatan Imigresen.
Dalam pada itu, katanya, polis menahan seramai 76 individu atas kesalahan ingkar PKPP dan 10 warga asing menerusi sekatan jalan raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen, semalam.