10 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi membuktikan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin berjiwa besar.
Seperti yang diketahui umum, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten ‘menghentam’ Najib.
Pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan terhadap Najib walaupun Ahli Parlimen Pekan itu bukan lagi memegang jawatan Perdana Menteri atau Presiden UMNO.
Malah, setiap kali berlaku krisis dalam Pakatan Harapan (PH) yang pernah dipengerusikan oleh Dr Mahathir, nama Najib juga yang selalu disebut.
Walau bagaimanapun, Najib seolah-olah tidak ambil hati dengan perbuatan Dr Mahathir terhadapnya apabila mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-95 kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Happy 95th birthday, sir. Semoga Tun Dr Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia,” katanya menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Sikap budiman Najib itu turut menarik perhatian para netizen dan ramai dalam kalangan mereka mendoakan agar Dr Mahathir meluangkan usia yang berbaki untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Sebelum ini, Najib telah menunjukkan sikap serupa semasa melayan dengan baik Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang datang ketika majlis sarapan pagi pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH