Dipecat jawatan Exco, Haniza ucap terima kasih
11 JULAI: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha merafak sembah merakamkan penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kerana memberi perkenan kepadanya bagi menggalas amanah yang diberikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu turut berterima kasih kepada warga kerajaan negeri Selangor atas sokongan dan nasihat di samping kerjasama yang diberikan dalam saya menjalankan amanah yang diberikan.
Beliau juga akan sentiasa mendoakan agar seluruh rakyat di negeri ini akan terus hidup dalam keadaan sejahtera dan kekal harmoni.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan saya selama 26 bulan ini, saya sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik agar seluruh rakyat di Negeri Selangor ini, tanpa mengira latar belakang kedudukan, agar mempunyai kehidupan yang berkualiti serta lestari.
“Penghargaan khusus daripada saya kepada seluruh warga kerja Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS), PlanMalaysia@Selangor (JPBD) dan Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) yang sentiasa bertungkus lumus bersama saya dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat Selangor yang dikasihi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook miliknya, hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menamatkan khidmat Haniza secara rasmi, semalam berikutan keputusan PKR melucutkan keahlian bekas Ketua Wanita PKR tersebut pada 29 Jun lalu.
Portfolio itu akan dipangku oleh Amirudin dan sebarang program berkaitan portfolio berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH