11 JULAI: Polis telah mengenal pasti dalang yang memuat naik hantaran berbaur hasutan yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan awal polis mendapati hantaran berunsur fitnah itu tiada kaitan dengan Ahli Parlimen Segambut tersebut, sebaliknya dilakukan oleh sebuah portal.
“Siasatan mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini ialah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukannya daripada Twitter atau Facebook milik Hannah Yeoh.
“Keterangan suspek telah dirakam dan gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik poster itu juga telah dirampas,” katanya seperti dipetik dari laporan BERNAMA.
Kes disiasat menurut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988.
Pada 23 Jun lalu, Hannah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung catatan yang dimuat naik menerusi laman sosialnya yang antara lain didakwa mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.