11 JULAI: Tindakan zalim yang dilakukan oleh pemimpin PKR menyebabkan parti itu semakin tidak relevan dalam pentas politik tanah air.
Kenyataan yang keras itu disuarakan oleh bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau menjelaskan, perkara itu dapat dilihat menerusi pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha baru-baru ini.
“Keadilan (PKR) sudah tidak lagi relevan. Sejak beberapa tahun ini Parti Keadilan sudah tercalar dan rakyat sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan yang ada pada hari ini,” katanya seperti dipetik daripada laporan Malaysia Gazette.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian ketika ditemui pada lawatan kerja beliau di Kampung Nakhoda, Gombak, hari ini.
Ahli Parlimen Gombak itu menambah, Azmin, ramai ahli PKR termasuk para pemimpin tertingginya merasakan parti itu sudah tidak lagi diterima masyarakat.
Menurut beliau, pemimpin-pemimpin PKR cuba berbicara mengenai reformasi dan keadilan tetapi mereka tidak boleh melakukan keadilan kepada ahli sendiri.
“Bagaimana mereka boleh membawa prinsip keadilan dalam pembangunan negara kalau prinsip keadilan ini tidak dapat diterjemahkan dalam proses tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota di dalam parti.
“Dan sebab itu bagi saya YB Haniza seorang pemimpin yang cukup dihormati bukan soal dalam kerajaan atau parti,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Azmin berpandangan, inisiatif Haniza menubuhkan pertubuhan Nation Of Women (NOW) merupakan langkah yang baik untuk beliau meneruskan perjuangannya dalam membela nasib wanita.
Katanya, perkara itu adalah lebih baik daripada beliau kekal dalam kerajaan negeri atau parti sehingga dianggap sebagai ‘pengemis’ kepada pemimpin yang zalim.