11 JULAI: Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Japan Airlines (JAL) akan melancarkan perkongsian perniagaan pada 25 Julai ini bagi membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan bekerjasama secara komersial.
Selain meningkatkan kemudahan antara Jepun dan Malaysia, para pelanggan juga beroleh manfaat kerana mereka mempunyai lebih banyak pilihan penerbangan.
Langkah itu turut menyumbang kepada peningkatan keupayaan MAB dan JAL serta memanfaatkan kekuatan masing-masing.
“Dengan MAB menyambung semula penerbangan ke Jepun bermula Julai, kedua-dua syarikat penerbangan akan menawarkan empat perkhidmatan mingguan antara Kuala Lumpur-Tokyo Narita pada Julai dan Ogos,” kata MAB dan JAL dalam kenyataan bersama, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, MAB gembira apabila perkongsian itu akhirnya dapat dilaksanakan selepas beberapa bulan tertangguh berikutan sekatan perjalanan antara kedua-dua negara.
“Kami berharap perbincangan dua hala antara kerajaan Malaysia dan Jepun akan mewujudkan gelembung perjalanan antara kedua-dua negara, yang akan mengurangkan sekatan untuk perjalanan rentas sempadan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden JAL, Yuji Akasaka memberitahu, hubungan yang dipertingkatkan itu akan membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan memastikan standard keselamatan dan kebersihan yang tertinggi untuk pelanggan.
“Dari aspek hospitaliti, kami yakin pelanggan akan menikmati pengalaman dalam penerbangan serta jadual penerbangan yang mudah dan perkhidmatan yang lancar,” ujarnya.