11 JULAI: Pakatan Harapan (PH) kini dilihat dalam keadaan semakin goyah berikutan tindakan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari gabungan itu untuk membentuk blok Bebas bersama Parti Warisan Sabah (Warisan).
Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, langkah itu membayangkan kemungkinan bekas Perdana Menteri itu tidak akan lagi mengadakan kerjasama dengan PH.
“Ini sebenarnya pengakhiran kerjasama Dr Mahathir bersama PH yang mengetahui bahawa parti itu pun tidak memerlukan khidmatnya lagi dan boleh berdiri tanpanya.
“Nampak gaya Dr. Mahathir masih bertegas mahu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri manakala PH memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sebab pragmatik dan pastinya susah untuk Mahathir terima semula PH,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Semalam, Dr Mahathir dan lima bekas pemimpin Bersatu mengumumkan mereka menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana membantah keputusan PH memilih semula Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi menyatakan keputusan itu dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.
Bagi menjelaskan tentang keputusan itu, enam bekas pemimpin Bersatu tersebut telah mengambil ketetapan untuk berpegang kepada keputusan yang telah diambil akhir Jun iaitu untuk menamakan Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai calon Perdana Menteri.
Muhamad Nadzri menambah, tindakan yang dilakukan ini pasti menimbulkan reaksi positif dalam kalangan penyokong Dr Mahathir yang dilihat sudah muak dengan konflik yang berlaku dalam PH. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH