12 JULAI: Semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan memberikan sokongan penuh kepada usul pengguguran Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang bakal dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pagi esok.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas Mesyuarat Pra Persidangan Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengesahkan bahawa semua wakil rakyat BN akan memberikan sokongan 100 peratus kepada semua usul bakal dikemukakan Perdana Menteri di Parlimen nanti.
“Kita bersetuju untuk mendokong semua usul yang bakal dibawa oleh Perdana Menteri dan seperti yang kita tahu keputusan udian esok adalah satu keputusan besar iaitu menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker dengan calon dikemukakan oleh pihak kerajaan (PN).
“Jadi kami akan memberikan sokongan 100 peratus terhadap usul bakal dikemukakan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai intipati dan keputusan dicapai dalam Mesyuarat Pra Persidangan Dewan Rakyat PN yang berlangsung di Dewan Seri Endon Putrajaya, sebentar tadi.
Ditanya mengenai berapa ramai jumlah ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat berkenaan Ahmad Zahid berkata walaupun tidak mengiranya namun beliau percaya hampir 100 peratus wakil rakyat PN hadir.
Sementara itu, menerusi Facebook milknya, Ahmad Zahid secara ringkas berkata:
“Esok Parlimen mula bersidang. Speaker baharu akan dipilih. Ada pengundian. Jika Speaker lama tidak menang, ertinya undi tidak percaya gagal.”
Pada sebelah pagi, Ahmad Zahid mengadakan majlis taklimat bersama Ahli Parlimen BN di ibu negara.
Dalam pada itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, pula mengesahkan mesyuarat berkenaan dihadiri oleh kira-kira 120 wakil rakyat pro PN.
Difahamkan kelancaran sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula esok akan bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen terhadap usul pengosongan jawatan Yang Dipertua dewan itu.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat, usul berkenaan akan dibawa Perdana Menteri berada di aturan kedua, esok.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya usul supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya itu mendapat sokongan majoriti, sebarang aturan mesyuarat lain tidak boleh diteruskan sehingga Yang Dipertua baru dilantik. – Oleh HAIKA KHAZI