12 JULAI: Walaupun perpecahan blok pembangkang cukup ketara dengan Program Taklimat Pra Sidang Parlimen pun tidak dapat dilakukan bersama hari ini, namun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya tetap akan menyokong agenda Pakatan Harapan (PH).
Ini termasuk dalam soal menolak usul pemecatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang bakal dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok biarpun blok Dr. Mahathir tidak menghadiri mesyuarat pra Parlimen blok pembangkang hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, biarpun pasukan yang menyokong Dr. Mahathir dan Parti Warisan sudah tidak bersama PH, namun Ahli Parlimen Port Dickson itu percaya Dr Mahathir tetap akan menyokong penolakan usul itu.
“Kita ada bermesyuarat mengenai usul ini secara tak formal bersama gabungan diketuai Mahathir dan Parti Warisan Sabah (Warisan). Mereka akan bersama PH menolak usul dicadangkan Perdana Menteri, walaupun ia dicadangan PH.
“Ini adalah majlis Pakatan Harapan dan mereka sudah tidak lagi bersama PH tetapi kerjasama masih akrab dengan PH,” katanya selepas menghadiri taklimat Ahli Parlimen sempena Pra Persidangan Parlimen di Saujana Hotel, hari ini.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir Mohamad dan pasukannya yang kini berada dalam blok bebas termasuk Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak hadir dalam majlis Pra Persidangan Parlimen PH hari ini.
Mereka dilaporkan mengadakan majlis sama di lokasi berbeza.
Sebelum ini anggota parlimen Bersatu yang setia kepada Dr. Mahathir mengumumkan bahawa mereka akan kekal bersama Warisan sebagai blok bebas.
Mereka juga memaklumkan bahawa tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan yang diketuai Anwar mahupun bersama Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri.
Ditanya sama ada beliau dan Dr. Mahathir dapat mencari jalan damai bagi memastikan pembangkang bersatu, Anwar berkata, sekiranya ada jalan persetujuan, ia pasti akan dapat direalisasikan dan ia tidak bersifat peribadi.
“Sesiapa sahaja, termasuk Tun Dr Mahathir, jika kita dapat bersetuju, maka kita akan meneruskannya, dan tidak ada masalah. Tiada perkara peribadi di sini,” katanya.
Aturan mesyuarat Dewan Rakyat esok antaranya akan membentangkan usul Muhyiddin untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai speaker dan timbalan speaker dengan kedua-duanya dilantik ketika pemerintahan PH.