12 JULAI: Selepas menerima desakan kuat supaya memberi contoh terhadap kesihatan awam di saat COVID-19 yang semakin memuncak, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akhirnya dilihat memakai pelitup muka untuk kali pertama di khalayak ramai, hari ini.
Perubahan itu memang menjadi perhatian ramai setelah Trump sebelum ini konsisten menolak amalan memakai pelitup seperti disarankan oleh pakar perubatan kerajaan selama ini.
Menurut rakaman berita di televisyen, Trump dilihat memakai pelitup muka berwarna hitam ketika beliau berjalan di koridor hospital tentera Walter Reed, di luar Washington bagi bertemu dengan veteran yang cedera.
Trump yang berjalan merentas wartawan, bagaimanapun tidak berhenti untuk membuat apa-apa kenyataan.
Cuma sebelum meninggalkan Rumah Putih sebelum itu, beliau secara ringkas berkata:
“Saya rasa sangat bagus memakai pelitup muka. Saya tidak pernah menentang pemakaian pelitup muka, namun saya percaya ada masa dan tempatnya.”
Laporan berita minggu ini, menyatakan bahawa pasukan pembantunya secara praktikalnya merayu kepada presiden supaya mengalah dan memakai pelitup muka di tempat awam dan membiarkan dirinya diambil gambar dengan memakainya di saat kes COVID-19 melonjak di beberapa negeri.
Selain disebabkan COVID-19, tindakan Trump itu disifatkan perlu ketika presiden AS itu sedang mengalami persaingan dari Demokrat Joe Biden dalam pemilihan pada pilihan raya November ini.
Trump dengan tegas mempertahankan pentadbirannya dalam menangani pandemik itu walaupun AS adalah negara yang paling teruk dilanda wabak itu.
AS baru-baru ini, merekodkan lebih tiga juta kes dengan hampir 135,000 terkorban dengan negeri dibiarkan mencari jalan penyelesaian sendiri untuk ‘dibuka’ semula tanpa strategi yang jelas dan logik daripada Rumah Putih.