13 JULAI: Urusan menggantikan Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya di Parlimen hari ini menyaksikan pertikaman lidah antara blok kerajaan dan pembangkang yang berlarutan kira-kira 75 minit.
Seperti dijangka, usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), bagi mencadangkan Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof ditentang hebat ahli parlimen PH.
Muhyiddin ketika membacakan usul itu berkata, Mohamad Ariff diminta mengosongkan jawatan tersebut kerana ada pencalonan lain.
Ahli Parlimen PKR Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula-mula bangun meminta timbalan speaker Datuk Rashid Hasnon tidak tergesa-gesa membuat keputusan dan memberi ruang ahli parlimen berbabas.
Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo berhujah usul tersebut tidak boleh dibentangkan kerana speaker sekarang masih ada manakala PH tidak diberikan makluman supaya dapat mencalonkan nama speaker.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hasan kemudian bangun mencelah menjelaskan, usul dibentang Perdana Menteri sah disegi peraturan mesyarat dan diterima Speaker Mohamad Ariff sendiri.
Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh pula berkata, ahli-ahli parlimen bersikap profesional dalam isu pemilihan speaker amat penting bagi memilih calon yang terbaik supaya institusi parlimen terus dihormati.
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bebas Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad turut berbahas tetapi beliau menjadi mangsa sindiran oleh beberapa ahli parlimen PN termasuk keputusannya menukar beberapa jawatan utama dan penting ketika PH mula memerintah.
Takiyuddin ketika penggulungannya berkata, walaupun keputusan menukar Speaker ini pertama kali berlaku, ianya bukan bertentangan dengan undang-undang dan usul Perdana Menteri adalah mengosongkan kerusi Speaker dan diganti dengan calon lain yang dibawa ke dalam Dewan untuk diputuskan.
Selepas pertikaman lidah dan undian belah bahagi yang dituntut oleh pembangkang, seramai 111 ahli parlimen bersetuju usul supaya Mohamad Ariff mengosongkan kerusi Speaker dan Azhar dipilih sebagai Speaker yang baharu manakala 109 menolak usul tersebut.