13 JULAI: Ahli Parlimen pembangkang mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat pada sesi petang persidangan hari ini kerana menolak pelantikan Datuk Azhar Azizan @ Harun sebagai Speaker baharu.
Mereka menuntut diberikan peluang menamakan calon bagi jawatan tersebut selepas persidangan pada sesi pagi meluluskan usul Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan kerusi tersebut.
Dalam kekecohan tersebut, Azhar mengarahkan Ahli Parlimen Amanah Khalid Samad keluar Dewan kerana terus menganggu ucapannya.
Ini menjadikan Khalid sebagai ahli parlimen pembangkang yang pertama diarah meninggalkan persidangan sehingga sesi petang ini selesai.
Tindakan itu terus menimbulkan kemarahan ahli-ahli parlimen pembangkang tetapi Azhar meneruskan ucapannya.
Dalam ucapannya, bekas Pengerusi SPR itu menyatakan rasa syukur kerana diberikan pengiktiran oleh Perdana Menteri dipilih menjawat jawatan yang mulia ini.
Beliau beberapa kali meminta ahli parlimen pembangkang yang menganggu ucapan sulungnya di Dewan Rakyat diam.
Azhar juga mengucapkan terima kasih kerana semua ahli parlimen mengambil bahagian dalam proses pelantikan sebelum ini.
“Ini penghormatan yang tinggi, namun saya sedar itu amanah negara kepada saya. Seperti ikrar saya tadi, saya akan jalankan tugas dan amanah.
“Memandngkan keahlian Dewan yang berpengalaman terdiri daripada peguam, cendiakawan yang ternama dan tersohor, saya percaya semua lebih arif dalam hal persidangan,” katanya.