13 JULAI: Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof reda dengan keputusan usul menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang tidak memihak kepadanya.
Beliau berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Azhar Azizan Harun meneruskan agenda reformasi Parlimen.
“Keputusan undian berkenaan bermakna jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat kosong mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tiada masalah sedikit pun,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Parlimen, hari ini.
Mohamad Ariff mengendalikan sidang Dewan Rakyat untuk kali terakhir pagi tadi selepas usul mengosongkan jawatan tersebut yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan melalui undi belah bahagi yang menyaksikan seramai 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 109 Ahli Parlimen menolak usul berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI