13 JULAI: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) melaporkan permohonan untuk Hak Trafik Udara (ATR) bagi enam bulan pertama tahun ini merosot 74.3 peratus berbanding separuh tahun kedua 2019.
Menurut MAVCOM, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 27 permohonan ATR atau 87.1 peratus daripada permohonan yang diterima telah diluluskan.
“Dua permohonan ATR untuk destinasi domestik manakala baki 25 lagi untuk destinasi antarabangsa.
“Kelulusan untuk laluan antarabangsa terdiri daripada tujuh untuk destinasi di China, satu untuk Amsterdam, satu untuk Auckland dan baki 16 untuk destinasi Asia yang lain,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan media.
Mavcom menambah, dari segi peruntukan oleh lapangan terbang, 20 ATR telah dikeluarkan untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), dua dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), dan lima dari lapangan terbang Malaysia yang lain.
Suruhanjaya itu memberitahu, daripada 27 ATR yang diluluskan, Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) menerima jumlah tertinggi iaitu sebanyak 14 ATR, manakala AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd, Raya Airways dan My Jet Xpress, masing-masing enam, lima, satu dan satu peruntukan.
Selain itu, terdapat 39 ATR yang telah diluluskan sebelum separuh pertama 2020 tetapi tidak digunakan oleh syarikat penerbangan.
ATR itu kemudiannya dikembalikan kepada MAVCOM pada separuh pertama tahun ini.
Jumlah tertinggi ATR yang tidak digunakan adalah daripada AirAsia Group Bhd (17), diikuti oleh Malindo Air (15), MAB (lima), Fly Firefly Sdn Bhd (Firefly) (satu) dan Raya Airways Sdn Bhd (satu).