14 JULAI: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta maaf dan menarik balik perkataan ‘gelap tak nampak’ dan ‘pakai bedak’ yang diucapkan dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berbuat demikian dalam sidang hari ini setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendapati perkataan-perkataan tersebut bersifat agak ofensif.
Abdul Azeez menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menggelarkan sesiapa pun termasuk Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto sebagai ‘gelap’.
“Dua tahun saya duduk di situ, sama spot, memang kawasan tu gelap, tak dapat perhatian Speaker.
“Supaya rakyat termasuk netizen di luar sana tahu saya tidak ada niat panggil sesiapa gelap sebab Allah takdirkan diri saya gelap. Dengan ini tarik balik dan minta maaf,” katanya.
Azhar Azizan seterusnya menasihatkan semua Ahli Parlimen agar tidak menggunakan perkataan berunsur kesat, seksis dan ofensif dalam sidang Dewan Rakyat.
Walau bagaimanapun, Kasthuriraani seolah-olah tidak berpuas hati dan mahu Azhar Azizan mengeluarkan keputusan yang tegas terhadap Abdul Azeez.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim seterusnya bangkit mencelah dan mendakwa, Kasthuriraani turut mengeluarkan perkataan yang kesat semalam.
Azhar Azizan kemudian menasihatkan semua Ahli Parlimen agar tidak memanjangkan lagi isu tersebut dan meminta mereka berbahas secara bersopan-santun.
Semalam, Azhar Azizan memperlihatkan ketegasannya untuk kali pertama setelah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat deengan mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad keluar dewan kerana berterusan mengganggu ucapannya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH