14 JULAI: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak sikap pemimpin-pemimpin DAP yang mempertikaikan pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, mereka menuduh Azhar Azizan sebagai tidak bermaruah dan tidak berintegriti semata-mata kerana menerima jawatan tersebut.
“Semasa orang berpihak kepada DAP, Art Harun (Azhar Azizan) paling layak, paling ikhlas, paling berintegriti,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Beliau merujuk kepada hantaran Twitter dua pemimpin DAP iaitu Yeo Bee Yin dan Dr Ong Kian Ming yang mempersoalkan tindakan Azhar Azizan menerima pelantikan tersebut.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Najib turut menasihatkan agar semua Ahli Parlimen mengikut saranan Azhar Azizan agar mereka menjaga adab, tingkah laku dan budi bahasa kita semasa kita berbahas dalam parlimen.
“Kita perlu sentiasa menjaga akhlak dan emosi kita. Kita tak perlu buli yang paling tua atau yang paling muda.
“Jangan ambil kira bangsa, umur atau jantina semasa kita berbahas sebab pihak sebelah sana juga ahli Parlimen dipilih rakyat,” jelasnya.
Beliau menyatakan, semua Ahli Parlimen mesti sentiasa bersikap profesional dalam Dewan Rakyat serta fokus kepada isu dan fakta.
“Jangan berlagak macam Lid atau Jelutong. Nanti rakyat tuduh kita sama seperti Lid dan Jelutong, kita susah hati pulak,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN