14 JULAI: Berikutan penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) di restoran yang semakin diabaikan, kerajaan hari ini mengingatkan para pengusaha bahawa premis mereka boleh diarahkan tutup, selain denda.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengusaha dalam hal ini perlu mengambil serius soal SOP seperti saringan suhu badan dan mewajibkan pelanggan menulis nama kerana ini penting dalam usaha mengekang penularan kes COVID-19.
Tegasnya, walaupun tiada lagi had minimum pelanggan di meja, ia tidak bermakna restoran boleh mengetepikan peraturan penjarakan sosial sebaliknya had yang duduk di meja perlu disesuaikan dengan asas ini.
“Tempat duduk perlu ada jarak sesuai dengan penjarakan sosial. Kalau biasanya satu meja bulat muat 10 orang, mungkin kini lapan supaya ada jarak tempat duduk.
“Saya harap pengusaha patuh, jika tidak mereka akan didenda RM1,000 atau diarah tutup,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Katanya, penjarakan sosial adalah asas yang perlu dipatuhi semua pihak dan sebagai contoh, di Dewan Rakyat sendiri ada ahli Parlimen yang perlu duduk di tempat pegawai dan galeri awam bagi memenuhi SOP ini.
“Dewan Rakyat ada 222 Ahli Parlimen dan semua dibenarkan hadir, tetapi penjarakan sosial tetap dilaksanakan dalam dewan hingga sebahagian Ahli Parlimen terpaksa duduk di tempat pegawai dan galeri awam,” ujarnya.
Sementara itu, menjawab satu soalan pemberita, Ismail Sabri menegaskan semua premis perniagaan perlu memastikan cecair pencuci tangan disediakan sepanjang masa untuk kegunaan pelanggan.
Katanya, perkara itu adalah sebahagian daripada SOP dan pemilik premis perniagaan tidak boleh mengutamakan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan SOP.