14 JULAI: Pemakaian penutup mulut dan hidung di kedai dan pasar raya di seluruh England akan diwajibkan mulai 24 Julai ini bagi mengekang penularan Covid-19.
Mereka yang ingkar akan berdepan hukuman denda sehingga 100 pound sterling (kira-kira RM535).
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, perintah itu berdasarkan bukti bahawa langkah itu dapat mengekang penularan Covid-19.
Sebelum ini, UK sudah mewajibkan pemakaian pelitup muka untuk penumpang pengangkutan awam di England sejak 15 Jun.
Penguatkuasaan perintah itu akan dilaksanakan oleh polis.
UK menjadi antara negara paling terjejas di Eropah akibat Covid-19 dengan lebih 45,000 kes kematian.
Beberapa negara lain di Eropah sebelum ini telah mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di premis perniagaan antaranya Sepanyol, Itali dan Jerman.