15 JULAI: Kementerian Pengajian Tinggi menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti capaian internet terhad, kos pelan data yang tinggi dan ketiadaan peranti termasuk komputer tiba dan telefon pintar.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sebagai salah satu jalan penyelesaian, kementeriannya berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mencari penyelesaian terhadap masalah capaian internet di luar bandar termasuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan gariskan beberapa strategi bagi cabaran-cabaran ini dan antara strategi yang telah dikenal pasti ialah universiti telah diminta ambil tindakan segera dengan menghantar bahan PdP melalui pos,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin tentang strategi kerajaan untuk menambah baik capaian internet khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak.
Mohamad turut menjelaskan tentang aduan yang diterimanya daripada pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi di Kota Kinabalu yang terpaksa menaiki bumbung bangunan untuk mendapatkan liputan internet bagi menyemak tugasan penuntut dan melaksanakan kuliah secara dalam talian.