15 JULAI: Tindak-tanduk Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang jelas memperlihatkan bagaimana mereka sebenarnya memang sesuai menjadi pembangkang dan bukannya kerajaan.
Pengerusi Majlis Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN BBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan baik termasuk di Dewan Rakyat.
Katanya, keadaan inilah yang sangat meresahkan rakyat apabila sebahagian besar Menteri-menteri PH yang kini dalam barisan pembangkang gagal dalam tugas mereka termasuk tidak mampu memberikan jawapan meyakinkan ketika sidang Parlimen.
“Sedangkan kami dulu ketika jadi pembangkang telah memberi pandangan dan teguran. Teguran kami pula konstruktif berasaskan fakta dan data.
“Tapi mereka ini tak boleh, kalau sentuh sikit sahaja, mereka akan melompat. Sentuh sahaja melompat. Macam ini lah sekarang, memang mereka layak jadi pembangkang,” katanya.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen BN-Arau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada sesi Diskusi Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia malam ini.
Tambah Shahidan, rakyat Malaysia boleh saksikan bagaimana menteri-menteri PH yang kini duduk di Dewan Rakyat sebagai pembangkang bercakap di Dewan Rakyat seolah mereka bukan di pihak kerajaan ketika berkuasa.
“Sedangkan sebagai seorang menteri, mereka kena jawab dengan penuh meyakinkan bagaimana hendak pulihkan ekonomi negara dan lain-lain perkara yang ditimbulkan.
“Sekarang jadi pembangkang balik maka mereka ‘melompat balik’, Maka sesuailah,” jelasnya.