15 JULAI: Isu melibatkan pengurusan Tabung Haji (TH) memang menjadi perhatian dalam kalangan umat Islam dan ia turut menjadi antara topik hangat pada perbahasan sidang Dewan Rakyat kali ini.
Bagi mengelak polemik berpanjangan, beberapa ahli-ahli Parlimen mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu TH dan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memberi respons positif kepada permintaan tersebut.
Menerusi catatan di Facebook miliknya, Dr. Zulkifli memberi jaminan yang beliau akan meneliti permintaan tersebut dengan penuh teliti dan amanah.
Menurutnya, beliau juga menerima memorandum mendesak penubuhan RCI TH daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Dr Asyraf. Insya-Allah saya akan teliti dengan penuh adil dan amanah,” katanya.
Beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.
Cadangan itu diutarakan Ahli Parlimen BN-Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sewaktu mencelah ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan mesyuarat Penggal Ketiga, Parlimen ke-14, pada persidangan Dewan Rakyat.
Abdul Azeez dilaporkan berkata, cadangan ini bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi pelaburan umat Islam berkenaan.
Desakan itu turut disuarakan beberapa lagi Ahli Parlimen antaranya Ahli Parlimen BN-Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.