15 JULAI: Kementerian Pengangkutan yakin dapat memeterai dan menandatangani perjanjian projek Sistem Transit Rapid (RTS), menjelang akhir bulan ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya sedang mengadakan mesyuarat rundingan terakhir antara Malaysia dan Singapura sebelum perjanjian berkenaan dimuktamadkan sepenuhnya minggu ini.
“Minggu ini adalah perbincangan terakhir pasukan rundingan kita bersama Singapura dan kita berharap minggu ini juga kita dapat menyelesaikan semua isu dan pasukan kita pun tak banyak yang perlu diselesaikan, cuma hanya satu atau dua perkara untuk kita bincangkan bagi dapatkan kata sepakatan.
“Kementerian Pengangkutan mempunyai keyakinan penuh dapat menyelesaikan isu tertunggak mengenai RTS pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal RTS Malaysia-Singapura, lusa dan selepas itu, proses perundangan perjanjian akan diperincikan dan kita akan bawa ke Kabinet pada minggu depan sebelum dimeterai sebelum 31 Julai ini juga,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Projek RTS merangkumi landasan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang setiap jam.
Pada Oktober tahun lalu, Malaysia bersetuju meneruskan projek RTS dengan kos terbaharu RM3.16 bilion dan dijangka siap pada Disember 2024, bertujuan menangani masalah kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang alik antara kedua-dua negara itu setiap hari.
Perbincangan dua hala mengenai projek RTS turut terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan Langkah Pemutus Rantaian di Singapura.
Sementara itu, Ka Siong memberitahu, walaupun Singapura masih belum menubuhkan barisan Kabinet baharu, kerajaan Malaysia tetap yakin rundingan RTS pasti boleh diselesaikan minggu ini mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Jangan risau, walaupun Kabinet belum ditubuhkan namun jabatan kerajaan iaitu Kementerian Pengangkutan Singapura kita melakukan rundingan dengan mereka.
“Saya yakin Singapura akan melantik barisan Kabinet dan menubuhkan kerajaan dengan cepat selepas pilihan raya di samping mereka mempunyai rekod yang bagus,” katanya.