15 JULAI: Sektor pelancongan negara kini mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion akibat daripada kesan penularan wabak COVID-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah kerugian itu termasuklah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ekoran aktiviti perniagaan yang tidak boleh dijalankan, pemotongan gaji serta pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel dan pakej pelancongan.
Menurut beliau, kerugian itu berlaku susulan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu yang menyaksikan pintu sempadan negeri dan negara ditutup bagi mengekang penularan wabak tersebut.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengunjurkan kerugian bagi segmen pelancong antarabangsa adalah melebihi RM31 bilion, manakala bagi segmen pelancong domestik, kementerian menganggarkan kerugian melebihi RM13 bilion.
“Berdasarkan statistik, bagi tempoh Januari hingga Mac 2020, perbelanjaan pelancong antarabangsa merekodkan penurunan sebanyak 41.5 peratus daripada RM21.4 bilion pada 2019 kepada RM12.5 bilion,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris tentang jumlah kerugian pendapatan yang ditanggung industri pelancongan akibat dari impak wabak COVID-19.
Menurutnya, penularan wabak pandemik itu bukan sahaja memberi impak negatif kepada Malaysia tetapi turut dialami hampir semua negara di seluruh dunia.
“Pada masa ini, kerajaan akan menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan industri pelancongan menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Kebudayaan yang telah dirangka oleh kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy turut memberitahu keputusan untuk melaksanakan Tahun Melawat Malaysia pada masa akan datang adalah bergantung kepada keadaan global semasa dan mengambil kira tempoh masa yang wajar bagi persediaan pelaksanaan sebarang kempen dalam skala yang besar. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH