15 JULAI: Isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) nampaknya menyebabkan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) tidak senang duduk dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad kelihatan tidak berpuas hati apabila Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berhubung isu tersebut.
Shahidan mencadangkan agar RCI tersebut menyiasat berhubung dakwaan aset TH dijual pada harga yang lebih rendah daripada nilai sebenar.
“Jual harta TH nilai RM244 juta pada RM177 juta. Apakah benar terdapat surat daripada CEO TH yang mengatakan perkara itu?
“TH pun kamu jual, TH bukan hak kamu. TH hak pendeposit orang Islam,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Khalid akhirnya terdiam apabila ditempelak oleh Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang ketika mencelah berkata, PH cuba menyembunyikan kejatuhan pasaran saham lebih 300 mata telah menghilangkan lebih kurang RM400 bilion.
Menurut Ahmad, keadaan itu telah menyebabkan TH serta beberapa syarikat milik kerajaan yang lain mengalami kerugian.
“Segala kerugian itu mereka kata kita yang salah walhal zaman mereka saham jatuh merudum,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya oleh Ahli Parlimen PH Jelutong, RSN Rayer tentang mengapa beliau tidak dilantik menjadi menteri Kabinet, Shahidan menyatakan bahawa rezeki itu milik Allah.
“Saya tawakkal kepada Allah. Saya akan kekal berada di sini, saya tak akan berada di sana,” jelasnya.
Terdahulu, sebelum sidang disambung semula kira-kira jam 2.40 petang, Rayer merungut tentang kelewatan tersebut dipercayai ekoran kelewatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said memasuki dewan. – Oleh HUSSAINI AMRAN