15 JULAI: Bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini, dipercayai berkaitan siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu ditemui wakil media sebelum memasuki ibu pejabat SPRM kira-kira jam 2 petang.
Menurut Dr Afif, beliau difahamkan dipanggil atas kapasiti sebagai Exco kerajaan negeri berkenaan bagi tempoh 2013 hingga Mac 2020.
Katanya, ini adalah kali pertama beliau dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan kes itu dengan notis panggilan diterimanya pada Isnin lepas.
“Saya tidak tahu apa soalan yang akan ditanya, saya akan tengok,” katanya.
Jelas beliau, pihak SPRM juga setakat ini tidak meminta sebarang dokumen daripadanya.
Dr Afif meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang berkuat kuasa pada 4 Mac lepas.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan dan beberapa Exco kerajaan negeri dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega tersebut yang melibatkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.