16 JULAI: Walaupun hanya sekadar calon bakal Perdana Menteri, namun Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti sekutu mereka masih belum mampu memuktamadkannya secara tuntas sehingga membiarkan jadi polemik berpanjangan.
Terbaharu, ketika kepimpinan DAP di peringkat pusat memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri seperti diumumkan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, DAP Sarawak pula berpendapat sebaliknya.
DAP Sarawak yang menegaskan mempunyai autonomi untuk membuat pendirian tersendiri tetap mahu mempertimbangkan Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri PH.
Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Cheng Jien, mereka bagaimanapun menghormati keputusan DAP pusat untuk komited dengan pelan asal PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Namun kata beliau, Mohd. Shafie perlu dipertimbangkan kerana Ketua Menteri Sabah itu telah teruji dan tetap kekal bekerjasama dengan PH walau boleh memilih menyertai Perikatan Nasional (PN).
Lagi pun, tegas beliau, Anwar harus diberikan satu tempoh untuk membuktikan kemampuannya mendapat sokongan bagi membawa PH dan DAP kembali ke Putrajaya.
“Melepasi tempoh itu, Mohd. Shafie pula harus diberi peluang (sebagai calon Perdana Menteri PH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga melihat masanya untuk seorang Perdana Menteri Malaysia dari Sabah atau Sarawak dipilih untuk memimpin negara ini ke arah yang lebih progresif.
“Jadi, sebagai pemimpin dari Malaysia Timur, tidak ada sebab untuk kami tidak menyokong Mohd. Shafie,” katanya. -M.H HAMID