16 JULAI: Seorang jurutera rakyat Malaysia yang baru pulang dari Nigeria antara tiga kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua kes penularan dalam negara pula dilaporkan melibatkan bukan warganegara.
Katanya, satu daripada kes itu dikesan di Depot Tahanan Imigresen Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala satu lagi di Sarawak melibatkan saringan di tempat kerja.
“Kes aktif adalah sebanyak 77 kes dan sehingga kini terdapat tiga kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes kematian baru dilaporkan.
“Dengan itu, jumlah kematian kekal pada 122 kes atau bersamaan 1.39 peratus bagi keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sementara itu, kata Noor Hisham, setakat tengah hari ini, 868,394 individu telah disampel untuk ujian COVID-19 atau bersamaan dengan 27.41 per individu bagi setiap 1,000 populasi.
Katanya, sebagai perbandingan, jumlah ujian bagi setiap 1,000 individu di Vietnam adalah 2.7, Jepun (4.1), Korea Selatan (26.29), Singapura (79.83), Australia (114.15) dan New Zealand 87.54.
“Negara kita melakukan 27.14 ujian bagi setiap 1,000 populasi dan ini setanding dengan negara Korea Selatan.
“Walaupun kapasiti makmal untuk pensampelan sudah bertambah pada 37,000 ujian sehari namun kadar positif hanya pada 1.05 peratus.
“Ini bermakna 99 peratus ujian Covid-19 adalah negatif,” jelasnya.
Katanya, walaupun kebelakangan ini trend jangkitan adalah rendah tetapi Kementerian Kesihatan telah meningkatkan aktiviti pengawasan klinikal.
“Pesanan KKM, kekal waspada. Praktikkan saranan pihak berkuasa,” ujarnya. -M.H HAMID