16 JULAI: Tanggungjawab menyediakan peralatan untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah COVID-19 di sekolah seperti cecair pembasmi kuman dan alat saringan suhu badan adalah terletak pada pihak sekolah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penyediaan peralatan berkenaan bukan berada di bawah tanggungjawab guru.
“Apabila kita kata sekolah mesti sediakan cecair pencuci tangan, buat saringan suhu badan dan sebagainya, ia perlu disediakan sekolah, bukan guru secara persendirian.
“Saya difahamkan, Kementerian Pendidikan sudah pun menyalurkan peruntukan kepada setiap sekolah untuk membeli cecair pencuci tangan dan pelitup muka.
“Jadi saya harap, sekolah dapat menyediakan cecair penmbasmi kuman untuk pelajar, bukan hanya di pintu masuk sekolah, tetapi juga di kantin. Begitu juga dengan pelitup muka mungkin,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai pendedahan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bahawa terdapat guru membelanjakan ratusan ringgit wang sendiri untuk menyediakan kelengkapan pelindungan diri bagi kegunaan pelajar.