16 JULAI: Sebarang pertikaian maritim di Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan berpandukan prinsip yang termaktub dalam perundangan antarabangsa seperti mana pendirian Malaysia sejak dulu.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, prinsip perundangan itu termasuk perkara yang terkandung dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa semua pihak harus berganding bahu untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.
“Kita juga akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan Laut China Selatan kekal menjadi perairan yang selamat dan menyokong aktiviti perdagangan.
“Oleh itu, Malaysia akan meneruskan siri perbincangan supaya Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan berupaya dimuktamadkan secara berkesan dan terperinci, termasuk membabitkan beberapa elemen. Ia antara lain berkaitan kepentingan dan hak semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo, kelmarin menyangkal semua tuntutan maritim China di Laut China Selatan dengan menganggapnya sebagai ‘menyalahi undang-undang’ dan dikhuatiri berupaya merenggangkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
Selain mengecam pengumuman China, AS menyifatkan tuntutan Beijing di Laut China Selatan menyalahi undang-undang, malah seakan digunakan sebagai kempen untuk membuli dan mengawal republik berkenaan.
Sebagai negara yang memiliki wilayah maritim untuk dituntut, Hishammuddin, berkata Malaysia sehingga kini kekal utuh dengan pendirian dan tekad untuk menjamin aspek kedaulatan, hak serta kepentingannya di Laut China Selatan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk menjaga kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara dalam isu tuntutan perairan berkenaan sentiasa menjadi keutamaan.
Mengenai kenyataan Datuk Seri Anifah Aman hari ini, Hishammuddin berkata, pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan sehingga kini tidak berubah, sama seperti mana ketika bekas Menteri Luar itu menerajui kepemimpinan Wisma Putra.
Sekiranya penjelasan sebelum ini berhubung kapal West Capella difahami sepenuhnya, Hishammuddin menaruh kepercayaan bahawa bekas Ahli Parlimen Kimanis itu tidak akan salah faham dan bertindak sedemikian.
Anifah dilaporkan menolak dakwaan Hishammuddin dalam sidang akhbarnya semalam bahawa tiada lagi pencerobohan daripada kapal tentera China di kawasan perairan Malaysia, dekat Laut China Selatan sejak peralihan tampuk pemerintahan kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN).