17 JULAI: Biar pun berulang kali pemimpin tertinggi kerajaan mengingatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan bagi mencegah peningkatan kes baharu COVID-19, namun jumlah mereka yang diambil tindakan kerana ingkar tetap tinggi.
Semalam sahaja menyaksikan 48 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, lima daripada mereka ditahan reman manakala 43 lagi dikenakan kompaun.
Katanya, kesemua 48 individu itu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai
yang menyukarkan penjarakan sosial.
“Semalam sahaja sebanyak 2,701 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,284 anggota telah membuat pemantauan di 3,939 pasar raya, 5,491 restoran1,720 penjaja, 1,123 kilang, 3,579 bank dan 878 pejabat kerajaan.
“Turut diperiksa 1,121 terminal pengangkutan darat, 229 terminal pengangkutan air serta 89 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, lima lagi warga asing ditahan kerana kesalahan berkaitan undang-undang imigresen hasil daripada Ops Benteng.
“PDRM telah membuat 66 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,151 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” jelasnya.