17 JULAI: Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Oktober ini untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencelah dalam kes permohonan semak semula sabitan dan hukuman mati oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.
Memetik laporan BERNAMA, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Zarifah Zainal Abidin turut menetapkan 8 Disember ini untuk mendengar permohonan Azilah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
Athari Bahardin, salah seorang peguam Azilah, yang menghadiri pengurusan kes di hadapan Zarifah di dalam kamar hari ini, memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk pengurusan kes permohonan semak semula itu.
Azilah turut diwakili peguam J. Kuldeep Kumar.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala peguam Sarah Abishegam bagi pihak Najib dan Sangeet Kaur Deo menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.
Athari berkata Azilah dan pendakwaan membantah permohonan Najib untuk mencelah dalam permohonan semakan itu.
Azilah, yang ketika ini menunggu untuk menjalani hukuman mati di Penjara Kajang, mengemukakan permohonan semak semula kesnya pada 5 Disember tahun lalu, berserta deklarasi akuan berkanun setebal 32 muka surat.
Beliau mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri.
Azilah, 43, memohon untuk mengetepikan kesalahan dan hukuman mati yang dijatuhi oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 dan satu arahan untuk perbicaraan semula.
Pada Disember tahun lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media bahawa anak guamnya, Najib menafikan segala yang didakwa oleh Azilah.
Azilah dan Sirul Azhar Umar, 47, didiapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pembunuhan Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya pada 2006.
Mereka bagaimanapun dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 yang membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap mereka.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan membatalkan pembebasan kedua-dua bekas anggota UTK itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah terhadap kesalahan itu.