17 JULAI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk adalah memadai.
Memetik laporan BERNAMA, beliau berkata, pihaknya pernah mencadangkan agar hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.
“Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya di Bukit Aman, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai berkata kerajaan akan mengusulkan agar pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wee berkata pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.
Pindaan akta itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.