18 JULAI: Lebih 5,000 kamera pengawasan litar tertutup (CCTV) akan dipasang di ibu negara bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya selamat.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara berkenaan dijangka dapat direalisasikan menerusi kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju perumahan, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Annuar berkata beliau berharap dengan adanya kamera keselamatan yang dipasang sekitar kawasan awam dan tempat tumpuan ramai dan di luar bangunan membolehkan pengunjung, pengguna dan pelancong merasa selamat.
“Pemasangan kamera keselamatan itu adalah antara program menjadikan Kuala Lumpur Bandaraya Selamat yang sedang dilaksanakan DBKL
“Pada masa ini hanya ada sekitar 300 kamera keselamatan di pasang ditempat awam,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Jualan Mega dan Program Kempen Belilah Barangan Malaysia 2020 dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Suria KLCC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, DBKL juga akan mengadakan pertemuan dengan polis bagi merangka pelan strategi keselamatan untuk program bandaraya selamat itu.
Katanya, dengan pihak pemaju, perbincangan menjurus kepada pembangunan kawasan awam yang selamat untuk orang ramai.
“Kos pemasangan kamera keselamatan ini akan ditanggung bersama pemajau dan DBKL,” katanya.
Sementara itu, katanya kementeriannya akan memastikan keselamatan orang awam di ibu negaraterjamin sepanjang Kempen Beli Barangan Malaysia berlangsung.
“Saya berharap kempen ini dapat menjana semula jualan dalam kalangan peniaga di pusat beli belah selain memberi pilihan yang luas kepada pengguna,” katanya.
Beliau menjelaskan kementeriannya kini mengamalkan dasar pintu terbuka dan mesrta kepada peniaga sama ada yabg kecil dan besar.
“Dasar sedemikian dapat meningkatkan kepercayaan dan memberi layanan mesra kepada peniaga seterusnya merancakkan sektor ekonomi tempatan bagi memulihkan ekonomi pasca COVID-19,” katanya.