18 JULAI: Penularan pandemik COVID-19 sebenarnya mempunyai banyak hikmah tersendiri termasuk membantu meningkatkan penggunaan ruang digital dalam perniagaan dan sistem e-dagang di kalangan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini terbukti apabila Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan penjualan runcit dalam talian atau e-dagang mencatatkan peningkatan sebanyak 39.3 peratus pada Mei 2020 berbanding tempoh sama tahun lepas.
Malah, dalam tempoh enam bulan pertama 2020, sebanyak 79,274 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan telah memanfaatkan platform e-dagang.
Beliau berkata jumlah berkenaan melebihi sasaran kerajaan untuk melatih 50,000 PKS dalam setahun dengan ativiti e-dagang turut mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding April 2020.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemasaran produk -produk PKS tempatan terutamanya di rangkaian pasar raya dan pasar raya besar telah mencatatkan nilai hasil jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM667 juta pada 2019, peningkatan sebanyak 307.6 peratus berbanding 2015.
“Kerajaan sememangnya memberikan perhatian kepada produk keluaran tempatan dengan menyediakan pelbagai insentif kepada perniaga tempatan untuk membina keupayaan terutamanya dalam peningkatan kualiti produk dan pembungkusan, memberikan keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan kerajaan serta penganjuran program pemasaran antarabangsa,” katanya ketika melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan di Suria KLCC di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan menerusi Program eTrade yang dijalankan oleh Matrade membantu usahawan untuk memulakan perniagaan eksport atas talian dengan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 untuk menampung sebahagian kos berkiatan penyenaraian dalam platform e-dagang antarabangsa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata Malaysia juga perlu mempunyai keupayaan dalam mengeluarkan produk-produk kritikal yang merangkumi sektor makanan dan minuman, peranti perubatan, ubat-ubatan, petrokimia serta peralatan perlindungan peribadi seperti sarung tangan dan pelitup muka.
“Apabila negara mempunyai keupayaan tersebut, maka kita mampu mengurangkan aliran keluar mata wang Malaysia dan seterusnya meningkatkan eksport barangan tempatan,” katanya.
Justeru, katanya kerajaan sedang mengkaji dan menilai semula dasar sedia ada untuk mengurangkan kebergantungan pada produk import dan memberikan keutamaan kepada pembinaan keupayaan industri tempatan mengeluarkan produk buatan Malaysia.
Beliau berkata dunia termasuk Malaysia berhadapan dengan cabaran kelembapan pertumbuhan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat berskala pertengahan dan multinasional, mengalami kesukaran dari segi kekangan aliran tunai dan kehilangan atau kekurangan pelanggan,” katanya.
Muhyiddin berkata rantaian bekalan turut terjejas terutamanya bagi sektor industri serta perkhidmatan yang terpaksa bergantung pada bahan mentah, komponen dan bekalan import.
“Ini diterjemahkan menerusi dasar kerajaan yang merangkumi penyediaan insentif kepada perniagaan tempatan untuk membina keupayaan terutamanya dalam peningkatan kualiti produk dan pembungkusan, memberikan keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan kerajaan serta penganjuran program pemasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan menerusi Program eTrade yang dijalankan oleh Matrade membantu usahawan untuk memulakan perniagaan eksport atas talian dengan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 untuk menampung sebahagian kos berkiatan penyenaraian dalam platform e-dagang antarabangsa.
Katanya, sejak program tersebut dilaksanakan pada Oktober 2014, sebanyak 4,172 syarikat telah mendapat faedah daripada program terbabit bagi menembusi pasaran seperti Amerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, India, Mauritus, Panama,dan China. – Oleh HAIKA KHAZI